JABATAN ZAKAT NEGERI KEDAH

JABATAN ZAKAT NEGERI KEDAH
www.zakatkedah.com

Bab 2: Latar Belakang Organisasi

2.1 Sejarah Jabatan Zakat Negeri Kedah



     Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) mula tertubuh di atas sifat keprihatinan Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Tuan Sheikh Wan Sulaiman bin Wan Sidek terhadap masalah rakyat jelata berhubungan pembayaran zakat dan bantuan zakat kepada golongan fakir dan miskin. Sehubungan dengan itu, beliau telah menghadap KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah ketika itu (Al-Marhum Tunku Mahmud Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin), iaitu Nenda kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Muazzam Shah untuk membincangkan hal berkenaan. Tuanku Sultan telah menitahkan supaya tiga orang ulama’ terkenal di Negeri Kedah untuk menggubal undang-undang berkenaan zakat di Kedah. Ulama’-ulama’ tersebut ialah Tuan Haji Ismail bin Salleh, Kadi Besar Negeri Kedah; Tuan Haji Yaakob bin Haji Ahmad, Kadi Daerah Padang Terap dan Tuan Haji Abdul Ghani bin Hamzah Assaiburi, Kadi Daerah Kota Setar. Mereka kemudiannya menerbitkan satu notis penerangan zakat iaitu “I’lan An Nasihah Min Khusus Az Zakat” yang diedar dan ditampal di serata tempat di Negeri Kedah.

    Pejabat Zakat Negeri Kedah Darul Aman ditadbir oleh sebuah jawatankuasa yang dinamakan “Komiti Zakat Negeri Kedah” yang dilantik dengan perkenan oleh KDYMM Tuanku Sultan. Komiti ini bertanggungjawab di dalam urusan kutipan zakat dan pengagihannya kepada asnaf yang ditentukan oleh syarak.

    Pada tahun 1955, Undang-Undang Zakat Negeri Kedah dikenali sebagai Enakmen Zakat Tahun 1374 (1955) dilaksanakan atas perkenan KDYMM Al Marhum Sultan Badlishah Ibni Al Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Namun enakmen tersebut telah dipinda beberapa kali mengikut kesesuaian keadaan semasa.

     Antara Pindaan Enakmen Zakat yang telah dibuat ialah pada 1 Januari 1957, dibuat pindaan perkataan “Komiti” ditukar kepada “Jawatankuasa Zakat”. Pada 12 Disember 1961, dibuat pindaan Kutipan Zakat dari 4/8 kepada 8/8. Pada 24 Jun 1975, dibuat pindaan perkataan “Rial” diganti dengan perkataan “Wang”. Pada 27 November 1977, dibuat pindaan ke atas hukuman di bawah peraturan zakat dari denda RM 100 atau penjara tidak lebih 6 bulan kepada RM 5,000 atau penjara tidak lebih dari 3 tahun. Pada 10 April 1988, ditambah seksyen 10 hingga 25 kepada Enakmen Zakat iaitu mengenai peruntukan kontrak-kontrak yang hendak dibuat oleh Jawatankuasa Zakat. Pada 16 April 1997, beberapa pindaan telah dibuat, antaranya nama Undang-undang Zakat dipinda kepada Enakmen Zakat. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja, pegawai-pegawai, penyelia-penyelia zakat, pekerja-pekerja Jabatan Zakat dan amil-amil disifatkan sebagai Pegawai Awam.


Rajah 1.1 : Carta Enakmen Zakat



2.2 Penubuhan Menara Zakat Kedah

          Menara Zakat terletak di atas sebidang tanah seluas satu relang 448 jemba yang dibeli oleh Jawatankuasa Zakat pada 11 Februari 1963 bersamaan dengan 18 Ramadan 1382 tahun hijrah dengan harga RM 80,000.00.

         Tanah ini pada masa lampau mempunyai sebuah rumah yang menempatkan saudara baru dalam keadaan mereka menetap hanya beberapa ketika. Pengurusannya yang tidak begitu teratur dan tidak memberi pulangan kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK). Maka Jawatankuasa Zakat yang di pengerusi oleh YB Dato’ Paduka Haji Radi bin Basir, Dato’ Bijaya Indera telah memikirkan sesuatu supaya tanah ini dapat memberi pulangan bagi mempertingkatkan kewangan zakat.

        Justeru itu, sebuah Jawatankuasa Kecil Pembangunan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Y.Bhg Dato’ Paduka Daerah Kota Setar, Dato’ Haji Ahmad Basri bin Haji Akil dan dianggotai oleh Y.Bhg Dato’ Paduka Sheikh Abdul Majid Mohd Noor iaitu Dato’ Setia Jaya, Tuan Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Y.Bhg Tuan Kadi Besar dan Setiausaha Jawatankuasa Zakat.

        Setelah dibuat kajian mengikut garis panduan yang diberi oleh Dato’ Paduka Pengerusi Jawatankuasa Zakat telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan beberapa kali, maka di dalam mesyuarat Jawatankuasa Zakat kali ke-43 yang bersidang pada 7 Oktober 1984 Masihi bersamaan 12 Muharam 1405 Hijrah. Y.Bhg Dato’ Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan telah menjelaskan kepada Jawatankuasa dari segi membangunkan tanah Telok Wanjah dan mendapat sokongan daripada semua pihak serta pandangan Jabatan Perancang Ekonomi, Majlis Perbandaran Kota Setar, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perancangan Bandar. Maka dengan penjelasan tersebut, Dato’ Paduka Pengerusi meminta supaya di jemput jabatan terbabit disertai oleh Lembaga Elektrik Negara, Jabatan Telekom, Jabatan Bomba dan Jabatan Polis untuk berbincang dengan secara mendalam dan terperinci semua aspek pembangunan.

         Dalam usaha mendirikan bangunan ini, YB Dato’ Paduka Pengerusi telah mencari seorang profesional untuk mereka bentuk bangunan yang dicadangkan. Arkitek yang telah mereka bentuk bangunan zakat ialah Profesor Madya Ilyas Haji Saleh yang merupakan Dekan Fakulti Alam Bina di Universiti Teknologi Malaysia.

         Pada 7 Julai 1994, KDYMM Tuanku Sultan telah pun berkenan untuk membina bangunan zakat tersebut. Setelah Jawatankuasa mendapat perkenan KDYMM Tuanku Sultan telah melantik mereka untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan dan mereka terdiri daripada Arkitek Jaya dengan bayaran profesional sebanyak RM 531,254.00 dan Arkitek Jaya telah menderma balik sebanyak 10% daripada bayaran tersebut kepada jabatan zakat. Chong dan Rakan Servis Struktur juga telah menderma sebanyak RM 212,039.00 iaitu sebanyak 35%. Juru perunding bahagian mekanikal dan elektrik yang juga merupakan jurutera tempatan Encik Ruzman bin Dato’ Hj. Radzi sebanyak RM 106,302.00.

        Antara nama-nama yang dicadangkan untuk bangunan tersebut ialah Wisma Zakat, Menara Zakat dan Bangunan Zakat. Setelah Jawatankuasa Zakat mempersembahkan nama-nama bangunan tersebut ialah Menara Zakat, maka KDYMM Tuanku Sultan telah perkenan dengan nama “Menara Zakat”.


  2.2.1 Falsafah Penubuhan Menara Zakat

         Setiap penubuhan sesebuah institusi mempunyai falsafah yang tersendiri sama ada dari segi bentuk, ketinggian dan infrastruktur yang disediakan. Falsafah penubuhan Menara Zakat didirikan sebelas tingkat dan pejabat urusan pengendalian zakat terletak di tingkat tiga ialah untuk menggambarkan kepada kita bahawa kedudukan zakat adalah rukun yang ketiga dalam Rukun Islam, lima perkara. Pembinaan Menara Zakat setinggi sebelas tingkat adalah gambaran daripada tiga perkara iaitu:

i.   Gabungan Rukun Iman enam perkara dan Rukun Islam lima perkara, menjadikannya sebelas.

ii.   Gabungan zakat rukun yang ketiga dengan asnaf yang berhak menerima zakat iaitu telah menjadikannya sebelas.

iii.   Sebelas juga dikaitkan dengan sebelas daerah yang terdapat dalam negeri Kedah.


   2.2.2 Moto Jabatan Zakat Negeri Kedah

            “Berzakat Membawa Berkat”.


2.2.3 Logo Jabatan Zakat Negeri Kedah




Rajah 1.2 : Logo Jabatan Zakat Negeri Kedah

            Jabatan Zakat Negeri Kedah telah mereka bentuk logo sendiri sebagai lambang bagi jabatan ini. Logo ini mempunyai lapan bucu yang membawa maksud bagi setiap satu bucunya itu adalah terdiri daripada asnaf-asnaf yang berhak menerima zakat iaitu Fakir, Miskin, Amil, Fisabilillah, Ibnu Sabil, Al-Gharimin dan Al-Riqab.

            Manakala ayat yang bertulisan jawi di tengah-tengah logo tersebut adalah menunjukkan kewajipan berzakat. Terdapat lambang diraja pada sebelah kanan logo yang bererti bahawa jabatan ini adalah di bawah naungan KDYMM Tuanku Sultan Kedah manakala lambang bendera negeri Kedah pula pada sebelah kiri logo menunjukkan jabatan ini hak milik mutlak Negeri Kedah Darul Aman.


   2.2.4 Visi Jabatan Zakat Negeri Kedah

“Pemangkin pembangunan sosio-ekonomi umat Islam”.


   2.2.5 Misi Jabatan Zakat Negeri Kedah

            Bagi merealisasikan hasrat dan impian sesebuah syarikat atau jabatan untuk menjadi sebuah organisasi yang kukuh dan maju, ia memerlukan misi yang tersendiri bagi menjayakannya. Di antara misi Jabatan Zakat Negeri Kedah ialah:

i. Menguruskan kutipan dan agihan zakat dengan amanah, cekap, adil dan berkesan melalui perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada pembayar dan asnaf zakat.

ii. Bekerjasama dengan pelbagai pihak.

iii. Pembangunan modal insan insan yang cekap dan dinamik.

iv. Aplikasi teknologi terkini.

v. Kajian penambahbaikan setiap masa.


   2.2.6 Objektif Jabatan Zakat Negeri Kedah

Sebagaimana penubuhan sesebuah organisasi mempunyai objektif yang tersendiri, Jabatan Zakat Negeri Kedah juga mempunyai objektif yang jelas iaitu:

i. Menyedarkan umat Islam betapa pentingnya kewajipan menunaikan zakat kepada amil-amil yang dilantik oleh KDYMM Tuanku Sultan dan peningkatan kerja untuk meningkatkan perolehan kutipan zakat demi menjaga kepentingan asnaf yang berhak menerima zakat seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran.

ii. Menyedarkan umat Islam tentang betapa pentingnya peranan zakat dalam memperbaiki dan meningkatkan ekonomi umat Islam dan masyarakat Islam sejajar dengan falsafah zakat yang mana ianya adalah salah satu sumber ekonomi kerajaan Islam.

iii. Bekerja dan berusaha ke arah mempertingkatkan syiar Islam dalam negeri ini dan juga untuk mempertingkatkan dakwah islamiah kepada orang-orang Islam dan bukan Islam dan juga membanteras segala ajaran orang yang tidak bertanggungjawab berkenaan dengan kutipan zakat dalam negeri ini.

iv. Mempelbagaikan kutipan zakat daripada sumber-sumber zakat yang diluluskan oleh hukum syarak.

v. Memberi perkhidmatan sebaik-baiknya kepada asnaf-asnaf yang ditentukan oleh syarak dengan memberi keutamaan golongan fakir dan miskin.


   2.2.7 Piagam Pelanggan JZNK

        
 Pengurusan Pungutan dan Agihan Zakat 

Bagi memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan, kami beriltizam akan melaksanakan dan mematuhi perkara-perkara berikut:

 Hak Pembayar Zakat 
  •  Mendapat maklumat yang jelas dan tepat berkaitan zakat. 
  • Memilih kaedah pembayaran zakat yang bersesuaian. 
  •   Mendapat resit pembayaran selepas berurusan. 
  • Maklumat pembayar adalah sulit.

Hak Asnaf 
  •   Mendapat maklumat yang jelas mengenai permohonan bantuan zakat. 
  •  Mendapat layanan yang adil dan saksama tanpa mengira jantina, keturunan dan kedudukan. 
  • Diberi peluang untuk membuat aduan dan bayaran. 


2.3 Carta Organisasi


Rajah 1.3 : Struktur Organisasi Jabatan Zakat Negeri Kedah


2.3.1 Pengurusan Tertinggi



Rajah 1.4 : Nama ketua-ketua bahagian


Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) diketuai oleh Setiausaha Jawatankuasa Zakat iaitu Dato’ Syeikh Ghazali bin Haji Yaacob dan beliau dibantu oleh Encik Ridzuan bin Ahmad selaku timbalan setiausaha JZNK berfungsi sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dalam mengutip dan menguruskan agihan bantuan zakat kepada golongan asnaf dengan memberi keutamaan kepada fakir dan miskin. Ianya bertujuan supaya mengeluarkan golongan ini dari terus dibelenggu kemiskinan dan membolehkan golongan ini menjadi umat Islam yang berjaya dari aspek ekonomi dan lain-lain.

Terdapat enam bahagian utama di JZNK iaitu Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Korporat, Bahagian Dakwah dan Kutipan, Bahagian Agihan dan Pembangunan Asnaf, Bahagian Teknologi Maklumat dan Bahagian Kewangan. Terdapat seramai 84 orang pegawai yang bekerja di JZNK yang meliputi keenam-enam bahagian di jabatan ini.

Menara Zakat mempunyai 10 aras atau tingkat. Aras Tanah ditempatkan pejabat zakat daerah Kota Setar dan Pusat Hemodialisis. Aras 1 terdapat Dewan Besar dan Stor Pengurusan Aset atau barangan. Pejabat Dato’ Setiausaha pula terletak di Aras 3 bersama-sama dengan Bahagian Kewangan, Bahagian Teknologi Maklumat dan Kaunter Khidmat Pelanggan. Manakala Bahagian Korporat, Bahagian Dakwah dan Kutipan serta Bahagian Agihan dan Pembangunan Asnaf terletak di Aras 4 dan Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Audit dan pejabat Timbalan Setiausaha terletak di Aras 5. Aras 2, Menara Zakat telah disewakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah-Perlis.

JZNK juga telah mengagihkan bidang kuasanya kepada pejabat zakat daerah. Terdapat sebanyak 12 buah pejabat zakat daerah di Kedah dan menjalankan tugas mengutip zakat di daerah masing-masing. Pejabat zakat akan menambahkan satu lagi cawangan iaitu pejabat zakat daerah Pokok Sena. Sementara pejabat zakat daerah Pokok Sena dalam proses penyelenggaraan, pegawai zakat daerah Pokok Sena ditempatkan di Aras 5 Menara Zakat untuk sementara waktu.


Rajah 1.5 : Senarai dan Alamat Pejabat Zakat Daerah di Kedah
Bil.
Cawangan

Alamat


No. Telefon
&
No. Faks
1
Ibu Pejabat
Aras 3, Menara Zakat,
Jalan Teluk Wanjah,
05200 Alor Setar, Kedah.

Tel   : 04-7331740
Faks : 04-731 6280
2
Kota Setar
Aras Tanah, Menara Zakat,
Jalan Teluk Wanjah,
05200 Alor Setar, Kedah.

  Tel   : 04-731 8005
3
Pendang
No 122, Jalan Sukamari,
06700 Pendang, Kedah.

  Tel    : 04 759 4515
  Faks  : 04-759 3700
4
Kuala Muda
No. 311-H, Tingkat 1,
Bangunan Zakat,
Jalan Bakar Arang,
08000 Sungai Petani, Kedah.

  Tel   : 04-421 8912
  Faks : 04-424 8526
5
Kubang Pasu
No 240, Pekan Jitra
06000 Jitra, Kedah.

Tel   : 04-917 1561
Faks : 04-917 2894
6
Padang Terap
39-BB, Bangunan Zakat,
Pekan Baru, Jalan Semeliang,
06300 Kuala Nerang, Kedah.

Tel   : 04-786 6239
Faks : 04-786 4399
7
Kulim
No 9A, Kulim Business Park,
Jalan Assad,
09000 Kulim, Kedah.

Tel   : 04-490 0873
Faks : 04-495 8716
8
Yan
No.8, Tingkat Bawah,
Taman Delima,
Jalan Yan, 08800
Guar Chempedak, Kedah.

Tel   : 04-468 3482
Faks : 04-468 4490
9
Sik
441, 
Jalan Tunku Ibrahim,
08200 Sik, Kedah.

Tel   : 04-469 5895
Faks : 04-469 3736
10
Baling
Lot 3, Tingkat 1,
Bangunan Zakat,
Jalan Badlishah, 09000
Baling, Kedah

Tel   : 04-470 2428
Faks : 04-470 2515
11
Bandar Baharu
No. 1-Atas,
Kompleks Sri Tasek,
09800 Serdang, Kedah

Tel   : 04-407 9670
Faks : 04-407 6430
12
Langkawi
No. 126 ,
Persiaran Bunga Raya,
Langkawi Mall,
07000 Langkawi, Kedah

Tel   : 04-966 0179
Faks : 04-966 0698
Sumber : Buletin Lensa Asnaf Edisi Oktober, November dan Disember 2014


2.3.2 Staf Bahagian Korporat


Rajah 1.5 : Staf-staf di Bahagian Korporat


            Semasa menjalankan latihan industri di Jabatan Zakat Negeri Kedah, saya telah ditempatkan di Bahagian Korporat. Bahagian Korporat mempunyai lima orang pegawai dan diketuai oleh Encik Mohd Sani bin Harun. Mereka menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka. Staf-staf di bahagian ini sangat membantu dalam segala permasalahan tentang bidang tugas dan sudi memberikan tunjuk ajar kepada saya.

            Sepanjang latihan dijalankan saya telah didedahkan dengan banyak perkara antaranya cara mengemaskini sistem pemfailan dengan betul, tatacara berurusan dengan pihak luar, menjawab panggilan telefon, menerima surat masuk, mengemaskini kuantiti stok atau barang di stor bahagian korporat serta mengendalikan pelanggan atau pihak yang berurusan di kaunter khidmat pelanggan.


2.4  Tugas-tugas Bahagian Utama di Jabatan Zakat Negeri Kedah


2.4.1 Bahagian Sumber Manusia

Antara tugas dan tanggungjawab bahagian ini adalah:
  • Merancang, mengendalikan dan menyelaras hal-hal kakitangan seperti urusan pengambilan, penempatan, pengesahan lantikan, pengesahan jawatan, pemberian taraf berpencen dan persaraan kakitangan.
  • Merancang, mengkaji dan menyelaras keperluan perjawatan di ibu pejabat dan di cawangan-cawangan.
  •  Merekod dan mengemaskini semua data kakitangan.
  • Merancang dan mengkaji cadangan-cadangan penyusunan semula struktur jabatan berdasarkan keperluan perjawatan dari semasa ke semasa. 
  • Mengemaskini dan penyelarasan tugas-tugas kakitangan. 
  • Mengemaskini carta organisasi jabatan. 
  • Pengurusan cuti rehat, cuti sakit, cuti haji dan lain-lain cuti. 
  • Urusan surat menyurat am, urusan pentadbiran am pejabat dan sistem pemfailan. 
  • Pelarasan gaji dan elaun-elaun, PERKESO dan KWSP. 
  • Menentukan dan menguruskan ahli-ahli Panel Temuduga Pelantikan Jawatan. 
  • Mentadbir dan menyelia telefonis, pemandu, pengurusan stor dan pembantu pejabat (office boy). 
  • Mentadbir dan menguruskan urusan rawatan perubatan kakitangan dan panel-panel klinik Jabatan. 
  • Memastikan faedah-faedah dan urusan kebajikan kakitangan ditadbir secara betul dan adil mengikut prosedur dan polisi Jabatan. 


2.4.2 Bahagian Korporat

Antara tugas dan fungsi bahagian ini adalah: 
  • Merancang dan berusaha menaikkan imej Jabatan selaras dalam skop Bahagian dan Jabatan. 
  • Merancang dan mengatur sidang akhbar atau wawancara dengan pihak tertentu apabila diperlukan. 
  •  Menguruskan acara protokol korporat. 
  • Menyedia, merancang membuat publisiti atau liputan dan mengeluarkan berita tentang aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Zakat pada setiap hari dan bulan bergantung kepada aktiviti-aktiviti yang dirancang. 
  • Mendapatkan bahan-bahan berita mengenai sebarang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh daerah-daerah dan menyediakan berita untuk dimasukkan di dalam portal Jabatan Zakat. 
  • Merancang dan menguruskan program-program Bahagian Korporat dan menyediakan keperluan program seperti risalah, iklan di radio dan televisyen serta membantu menyalurkan informasi yang tepat kepada masyarakat. 
  • Merancang, mengumpul dan menyediakan serta menyelenggarakan bahan-bahan untuk penerbitan Buletin Zakat, Laporan Tahunan dan lain-lain yang berkaitan dengan objektif Bahagian Korporat. 
  • Merancang menerima dan mengagihkan aduan awam yang diterima mengenai Jabatan Zakat kepada bahagian-bahagian dan membantu menyelaraskan jawapan dan tindakan susulan yang diambil. 
  • Mengekalkan hubungan baik dengan media massa, agensi kerajaan dan swasta.


2.4.3 Bahagian Kewangan

Bahagian Kewangan dibahagikan kepada tiga unit iaitu Unit Hasil, Unit Bayaran dan Unit Akaun. Antara tugas dan tanggungjawab bahagian ini adalah :

Unit Hasil 
  • Mendaftar & mengemaskinikan daftar mel.
  • Mengeluarkan resit bagi potongan gaji, ejen kutipan & lain-lain kutipan. 
  • Memasukkan kutipan hasil ke bank.
  • Menyediakan laporan hasil

Unit Bayaran 
  • Mendaftar & mengemaskinikan daftar bil.
  • Menyediakan baucar bayaran pentadbiran & bantuan.
  • Menyelenggarakan buku vot.
  • Mencetak cek.
  • Menyemak baucar bayaran.
  • Mengagih baucar bayaran.
  • Menyelenggarakan panjar wang runcit ibu pejabat.
  • Mengeluarkan local order (pesanan tempatan)

Unit Akaun 
  • Mengakaun hasil / bayaran ke sistem perakaunan berkomputer.
  • Menyelia dan menyemak vot.
  • Menyelia dan menyemak laporan hasil kutipan.
  • Menyediakan jurnal pelarasan.
  • Menyediakan penyata penyesuaian bank.
  • Menyediakan Bajet Jabatan Zakat Negeri Kedah Darul Aman

2.4.4 Bahagian Teknologi Maklumat

 Antara tugas dan fungsi bahagian ini adalah: 

  • Merancang strategi sistem pengkomputeran JZNK bagi perkhidmatan ICT yang cekap dan berkesan. 
  • Memastikan perlaksanaan projek ICT mengikut perancangan ISP, dasar, pekeliling dan garis panduan yang telah ditetapkan.
  • Merancang, membangun, menyelaras, mengawasi perlaksanaan serta menyelenggara sistem aplikasi bagi menyokong perkhidmatan teras serta portal Jabatan Zakat Negeri Kedah.
  • Mengkaji keperluan keselamatan perkakasan/ perisian dan rangkaian serta memastikan sistem komputer berfungsi dengan baik dan berkesan.
  • Memberikan perkhidmatan teknikal dan menyelenggara kemudahan ICT.
  • Memberikan khidmat nasihat teknikal berkaitan ICT.
  • Mengawal selia keselamatan ICT selaras dengan garis panduan keselamatan ICT sektor awam.
  • Meningkatkan keupayaan pengurusan dan operasi JZNK melalui penggunaan ICT.
  • Menyediakan laporan-laporan yang berkaitan dengan kutipan dan agihan zakat.
  • Memastikan data-data berkaitan dengan kutipan dan agihan zakat sentiasa dikemaskini dan selamat dari masa ke semasa.

2.4.5 Bahagian Dakwah dan Kutipan

Antara tugas dan fungsi bahagian ini adalah :

  • Berusaha meningkatkan kesedaran menunaikan zakat di kalangan masyarakat agar bilangan pembayar zakat semakin meningkat dan sesiapa yang layak membayar akan tampil membayar zakat.
  •  Bertanggungjawab penuh dalam melaksanakan Arahan Wajib Zakat Pendapatan terhadap seluruh kakitangan awam kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.
  • Meningkatkan kemudahan pembayaran zakat kepada orang ramai agar kesukaran membayar zakat dapat diatasi.
  • Menyediakan pelbagai alternatif pembayaran zakat dengan mengambil kira perkembangan teknologi terkini, kemudahan yang disediakan oleh pesaing, pembayaran zakat dan lain-lain kaedah terkini di pasaran yang boleh dimanfaatkan.
  • Melahirkan para amil yang profesional, berwibawa, mahir, cekap, komited dan mempunyai sahsiah amil yang terpuji.
  • Berusaha mewujudkan satu enakmen khusus mengenai zakat yang akan diikuti dengan penguatkuasaan agar dengan adanya peruntukkan undang- undang yang meningkatkan lagi kelicinan dan keberkesanan pengurusan pungutan zakat di Negeri Kedah Darul Aman.
  • Sentiasa berusaha untuk berganding bahu dengan mana-mana pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, badan NGO dan juga mana-mana individu untuk meletakkan Jabatan Zakat Negeri Kedah sebagai satu institusi penting di dalam menjaga dan meningkatkan tahap sosioekonomi ummah.

2.4.6 Bahagian Agihan dan Pembangunan Asnaf

Bahagian ini dibahagikan kepada tiga unit. Antara tugas dan fungsi bahagian ini adalah:

i) Unit Tugas-tugas Khas dan Pembangunan Insan

Unit ini bertanggungjawab menyedia dan memperkenalkan dasar-dasar dalam menguruskan Sistem Agihan Zakat supaya berjalan lancar. Ianya meliputi seluruh skim agihan zakat dalam Sistem Agihan Zakat. Unit ini akan memastikan semua agihan berjalan lancar melalui prosedur-prosedur yang telah ditetapkan. Bidang tugas unit meliputi :
  •  Bertanggungjawab meningkatkan kualiti agihan zakat.
  •  Membuat bagi mewujudkan skim-skim baru.
  • Bantuan Khas Zakat.
  • Agihan zakat kepada lain-lain asnaf.
  • Pembangunan modal insan dan nilai jati diri asnaf.
  •  Motivasi kepada asnaf.
  • Projek-projek khas seperti pusat hemodialisis zakat.

ii) Unit Ekonomi

Unit ini akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi asnaf bagi membebaskan mereka daripada terus menerus berada dalam kemiskinan. Unit ini akan memproses segala permohonan yang berkaitan dalam pembangunan ekonomi asnaf dengan berpandukan kepada prosedur yang telah ditetapkan. Unit ini akan menguruskan segala pembelian barangan atau perkakasan yang diperlukan untuk memulakan aktiviti ekonomi yang dipohon, menguruskan penyediaan prasarana yang diperlukan dan wang tunai sebagai modal pusingan meliputi: 
  • Bidang pembangunan usahawan / usahawanita.
  • Pemasaran produk asnaf untuk masyarakat.
  • Siasatan permohonan dan pemantauan selepas agihan.
  • Menjadikan asnaf yang berjaya dalam aktiviti ekonomi sebagai pembayar zakat yang konsisten.

iii) Unit Pendidikan

Unit ini berperanan merancang dan menyediakan segala bentuk agihan bagi membangunkan tahap pendidikan di kalangan pelajar Islam. Segala perancangan pembangunan ini berteraskan pembangunan modal insan. Fungsi unit meliputi:
  •  Pembangunan pendidikan asnaf miskin.
  • Agihan zakat asnaf fisabilillah (pendidikan).
  • Bantuan kepada institusi pendidikan meliputi sekolah rendah dan menengah kerajaan, Sekolah Agama Rakyat, sekolah bantuan penuh kerajaan, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan lain-lain.
  • Kursus-kursus pendidikan kepada pelajar.
  • Kelas tambahan untuk asnaf (pelajar) terpilih.
  •  Kelas komputer.
  • Agihan kelengkapan pendidikan seperti pakaian dan peralatan tulis.

2.4.7 Bahagian Unit Audit Dalam

Antara fungsi dan tugas unit ini adalah :
  • Mengkaji kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem kewangan serta kawalan dalam organisasi.
  •  Mengkaji tahap pematuhan kepada segala dasar,undang-undang, peraturan dan arahan yang berkuat kuasa.
  • Mengkaji aktiviti organisasi diuruskan secara berhemat, cekap dan berkesan.
  • Mengkaji aset dan kepentingan organisasi di lindungi dari segi kehilangan, penipuan dan penyelewengan.
  • Memberi nasihat dan pandangan mengenai kawalan dalaman terhadap semua sistem termasuk sistem ICT.
  • Melaporkan kepada Ketua Jabatan hasil pengauditan dan mengambil tindakan susulan terhadap perkara yang dibangkitkan.
  • Menyediakan Rancangan Tahunan dan Laporan Tahunan Audit Dalam untuk kelulusan Ketua Jabatan.
  • Membentang Laporan Audit Dalam di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan Dan Akaun.
  • Lain-lain tugas yang akan diarahkan dari masa ke semasa.

2.5 Jenis-Jenis Zakat

i)  Zakat Pendapatan
Ia terdiri daripada semua jenis imbuhan bagi perkhidmatan yang diberikan atau kerja yang dilakukan dan apa-apa pendapatan sebagai profesional, yang diperolehi dalam seumur hidup, bersara atau mati.

ii) Zakat Simpanan
Simpanan ditakrifkan sebagai wang yang disimpan di tangan dan di bank atau mana-mana institusi kewangan dalam bentuk akaun simpanan, akaun simpanan tetap, ASB dan lain-lain.Zakat dikenakan hanya kepada baki terakhir simpanan dalam setahun, apabila simpanan telah mencapai nisab dan haul yang telah ditetapkan.

iii) Zakat KWSP
Caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikenakan zakat apabila ia dikeluarkan dari simpanan. Ia menggunakan konsep zakat kepada simpanan
atau wang. Kebanyakan sarjana Fiqh bersetuju bahawa zakat ke atas simpanan KWSP adalah wajib.

iv) Zakat Saham
Dr Yusoff Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh-Zakat mentakrifkan saham sebagai kertas berharga / komoditi yang didagangkan dalam pasaran seperti Bursa Malaysia.

v)  Zakat Ternakan
Syarat-syarat zakat ternakan
• Islam
• Pemilikan penuh
• Cukup Nisab (genap setahun)
•Ternakan itu bukan haiwan yang digunakan dalam aktiviti penanaman, membawa beban, menunggang dan lain-lain.
Huraian:
Haiwan yang dimaksudkan untuk pembayaran zakat mesti sempurna, bebas daripada sebarang kecacatan seperti hilang kaki dan sebagainya. 

vi)  Zakat Emas
Emas dan perak merupakan logam yang berharga sejak dahulu sehinggalah zaman sekarang. Jadi pada pandangan Islam, ia mesti dikenakan zakat sama seperti sumber-sumber kekayaan yang lain.
Zakat emas dikira dalam dua keadaan :

a) Emas yang disimpan

Ia merujuk kepada emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam setahun. Jika nilai emas yang disimpan sama atau melebihi 85 gram (nisab), zakat sebanyak 2.5% adalah wajib.
Contoh:
2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
2.5% x RM6, 000
Jumlah zakat = RM 150

b) Emas yang digunakan 

Zakat tidak diwajibkan pada perhiasan emas yang dipakai sekali atau lebih dalam setahun. Walau bagaimanapun jika barang kemas melebihi 'uruf' (penggunaan biasa atau adat dalam masyarakat setempat) tambahan adalah dikenakan zakat sebanyak 2.5%. Hanya nilai pasaran semasa emas digunakan untuk membuat pengiraan, mana-mana batu permata lain adalah dikecualikan. Jabatan Zakat Negeri Kedah kadar uruf ditetapkan untuk 170 gram emas.
Contoh:
Berat emas yang digunakan = 270 gram
Uruf emas = 170 gram
Berat emas zakat = 270 gram - 170 gram = 100 gram
Zakat = 2.5% x (100 gram x nilai pasaran)
= 2.5% x (100 gram x RM 121)
= RM 302.50

vii) Zakat Padi
Nisab zakat padi adalah hasil padi bagi setiap tuaian yang mencapai kepada :
5 ausuk yang bersamaan dengan 2 kunca, 2 nalih, 6 gantang, 1 cupak dan 2 kepul atau 1,3000.49 kg.

Sebagai contoh:
Harga padi 1kg bersamaan dengan RM0.75
Harga subsidi 1kg bersamaan dengan RM 0.281
Harga padi + harga subsidi bersamaan dengan RM0.99
RM0.99 X 1,3000.49 kg = RM1,287.48
Kadar Zakat padi adalah 1/10 daripada hasil tersebut.
Jadi, RM1,287.48 X 1/10 = RM128.74

viii)  Zakat Perniagaan

Syarat-syarat dikenakan zakat perniagaan :
  • Islam.
  • Kepunyaan mutlak.
  • Niat menjalankan perniagaan.
  • Cukup haul.
  • Cukup nisab.

2.6 Asnaf-Asnaf Zakat

i) Fakir
- Orang Islam yang mempunyai sumber pendapatan yang tidak mencapai 50% untuk keperluan hidupnya.

ii) Miskin
- Orang Islam yang mempunyai sumber pendapatan yang melebihi 50% keperluan hidupnya, tetapi tidak mencapai keperluan hidupnya.

iii) Amil
- Orang Islam yang dilantik oleh Sultan untuk menjalankan kerja-kerja kutipan dan agihan zakat.

iv) Muallaf
- Orang yang dijinakkan hatinya untuk memeluk agama Islam (Saudara Baru).

v) Al-Riqab
- Perbelanjaan untuk memerdekakan hamba beragama Islam.

vi) Al-Gharimin
- Orang Islam yang berhutang pada jalan Allah.

vii) Fisabilillah
- Segala aktiviti atau usaha untuk meningkatkan martabat Agama Islam.

viii) Ibnu Sabil
- Seseorang yang musafir telah terkandas di dalam perjalanannya yang diluluskan syarak.


2.7 Aktiviti Jabatan Zakat Negeri Kedah

Zakat ialah salah satu daripada rukun Islam. Pengertian zakat dari segi bahasa ialah bersih, subur dan berkembang maju. Manakala dari segi syarak pula, zakat ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya. Oleh hal yang demikian, JZNK telah diamanahkan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah iaitu selaku pemerintah negeri Kedah Darul Aman untuk menguruskan zakat di negeri ini. Selain bertanggungjawab mengurus dan mengagihkan hasil zakat, JZNK turut mewujudkan beberapa bentuk bantuan kepada golongan asnaf.

i.                Pusat Kemahiran Jahitan

Jabatan ini telah membangunkan sebuah Pusat Kemahiran Jahitan yang terletak di Menara Zakat itu sendiri. ‘Berilah kail, janganlah diberi ikan’ merupakan pepatah Melayu yang sering kita dengar supaya seseorang itu berdikari tanpa bergantung kepada bantuan kewangan semata-mata. Jadi JZNK telah merintis jalan ke arah mendidik dan membangunkan kemahiran di kalangan asnaf bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya. Pusat ini mempunyai seramai 15 orang pekerja yang terdiri daripada kalangan asnaf yang dipilih melalui proses temu duga dan mempunyai seorang tenaga pengajar yang berpengalaman. Pada mulanya, terdapat hanya 10 buah mesin jahit yang digunakan oleh pekerja untuk menjahit pakaian seragam sekolah, namun kini jumlah tersebut ditambah menjadi 27 buah mesin pelbagai jenis bagi memudahkan pekerja menjalankan tugas mereka. Para pekerja ini akan dibayar upah mengikut tempahan pakaian seragam yang diterima atau melakukan perniagaan jahitan di rumah melalui Program Bantuan Jaya Diri. Penubuhan pusat ini menjadi satu alternatif lain kepada pemberian sumbangan wang zakat kepada pihak sekolah untuk memberi pakaian seragam dan membolehkan bekalan pakaian seragam dibekalkan terus kepada sekolah tanpa melalui orang tengah. Antara lain matlamat penubuhan pusat ini ialah meningkatkan pendapatan asnaf dan dapat mengubah hidup mereka agar berdikari dan tidak hanya mengharapkan bantuan daripada orang lain.

ii.                Pusat Hemodialisis Zakat Kedah

JZNK juga telah menubuhkan Pusat Hemodialisis Zakat Kedah (PHZK) pada Julai 2011 yang menelan belanja hampir RM 1.5 juta. Pusat hemodialisis ini telah beroperasi dengan sempurna dan boleh memuatkan sebanyak 18 buah mesin hemodialisis dengan kapasiti rawatan berjumlah 70 orang pesakit non-hepatitis pada satu-satu masa. Sebelum pusat ini ditubuhkan, Jabatan Zakat menyediakan bantuan terus dalam bentuk kewangan kepada asnaf miskin yang menghidap penyakit buah pinggang. Memandangkan jumlahnya yang meningkat saban tahun, Jabatan Zakat merasakan penubuhan pusat ini merupakan langkah terbaik untuk membantu golongan ini. PHZK mempunyai semua kelengkapan rawatan dialisis dan ruang rawatan yang selesa untuk pesakit. Peralatan perubatan juga terdiri daripada peralatan moden dan terkini.

    iii.            Biasiswa Pelajar Perubatan Luar Negara

Program Biasiswa Pelajar Perubatan Luar Negara (Mesir) mula diperkenalkan pada tahun 2009 dengan pengambilan seramai empat orang anak jati negeri Kedah untuk menerima biasiswa ini. Pelajar yang terpilih mestilah berlatarbelakangkan pendidikan aliran Sains dan keutamaan diberi kepada mereka yang mengambil pengajian Bahasa Arab (Pendidikan Syariah Islamiah dan Quran Sunnah). Program biasiswa ini merupakan satu inisiatif daripada JZNK dalam melahirkan ramai tokoh doktor pakar dalam bidang masing-masing dan bakal ditempatkan di negeri Kedah khususnya. Dengan adanya program yang dianjurkan oleh JZNK ini, ia dapat meringankan beban kewangan kepada penuntut yang berada dalam kalangan keluarga yang miskin sekaligus membolehkan mereka melanjutkan pelajaran untuk mengubah nasib keluarga. Selain itu, program ini juga dapat menggalakkan lebih ramai pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan untuk terus menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi terutamanya dalam bidang perubatan. Antara aktiviti lain JZNK ialah agihan bantuan pakaian seragam sekolah, bantuan pembinaan dan baik pulih rumah bantuan pengurusan masjid, pusat bimbingan dan latihan saudara baru, seminar bengkel perniagaan dan pusat penempatan warga tua. 

1 comment:

  1. asalamualaikum saya ingin mohon keizinan untuk kongsi untuk dijadikan rujukan dalam menyiapkan laporan. sekian terima kasih

    ReplyDelete