JABATAN ZAKAT NEGERI KEDAH

JABATAN ZAKAT NEGERI KEDAH
www.zakatkedah.com

Bab 6: Kesimpulan

Secara keseluruhannya, latihan industri yang dilaksanakan oleh pelajar semester empat adalah amat berguna terutamanya bagi diri saya. Dengan adanya latihan industri menjadi satu landasan bagi saya untuk mengenali bidang kerja yang sebenar serta lebih luas. Di samping itu, ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian di politeknik di aplikasikan sepenuhnya dalam dunia pekerjaan. Perbezaan semasa pengajian politeknik dan menjalani latihan praktikal adalah amat berbeza sekali terutamanya cara berkomunikasi dengan orang luar. Gaya komunikasi yang lebih matang merupakan satu kelebihan yang saya peroleh untuk meningkatkan lagi kemahiran komunikasi saya. Justeru, latihan ini amat baik dan wajar diteruskan bagi melahirkan graduan yang lebih berkualiti selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan golongan profesional yang dinamik.

Dalam tempoh menjalani latihan industri di Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) banyak pengetahuan dan pengalaman baru yang saya terima ketika melakukan kerja di dalam pejabat. Pengetahuan dan pengalaman ini amat berguna untuk memajukan diri dan membantu untuk kemudahan di masa hadapan terutama sekali dalam bidang kesetiausahaan. Saya juga telah banyak didedahkan dengan pelbagai aktiviti serta tugas di jabatan ini secara tidak langsung saya juga telah mengetahui setiap tanggungjawab dan peranan setiap kakitangan di dalam jabatan. Pendedahan kepada alam pekerjaan yang sebenar adalah baik kepada para pelajar terutamanya untuk membuka minda dan pemikiran agar lebih berfikiran kreatif dan berpengetahuan tinggi. Pelajar juga dapat mengenal pasti dan menangani masalah-masalah yang sering timbul dalam situasi pekerjaan yang sebenar.

Banyak cabaran yang saya terpaksa tempuhi terutama sekali apabila ditempatkan di kaunter khidmat pelanggan. Pelbagai ragam manusia yang perlu ditempuhi setiap hari yang datang ke kaunter untuk berurusan dengan pegawai. Pada mulanya agak sukar untuk saya mengatasi masalah pelanggan yang datang berurusan kerana tidak pernah berhadapan dengan perkara tersebut namun dengan bantuan daripada staf-staf jabatan tersebut lama-kelamaan saya dapat mengatasi masalah tersebut dengan sendiri.

Dari segi perhubungan dengan staf-staf jabatan, tiada sebarang masalah yang saya hadapi. Ini kerana sikap setiap pekerja yang ceria dan begitu prihatin terhadap setiap gerak kerja yang saya lakukan. Kerjasama yang dihulurkan oleh kakitangan jabatan amat membanggakan. Selain itu, kerajinan dan keprihatinan dalam setiap masalah yang timbul mencenderungkan diri saya untuk menjadikan mereka sebagai contoh. Di samping itu, latihan industri melatih diri saya untuk sentiasa menepati masa. Secara tidak langsung latihan industri mendidik diri saya supaya menjadi seorang yang berdisiplin dengan masa. Selain itu, latihan industri juga telah mendedahkan kepada saya mengenai semangat kerja berpasukan dan bertukar-tukar pendapat serta idea yang bernas dengan kakitangan yang lain.

Walaupun pelbagai cabaran yang telah ditempuhi oleh setiap pelajar sepanjang menjalani latihan industri berbeza antara satu sama lain, namun apa yang penting ialah setiap individu mestilah bersikap lebih positif dalam menghadapi setiap situasi supaya pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.

Melalui latihan industri ini, jelaslah bahawa objektif latihan telah tercapai sepanjang dua puluh minggu bermula 1 Disember 2014 sehingga 17 April 2015. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pendedahan yang telah diberikan kepada pelajar sepanjang latihan industri ini sangat berguna dan perlu dimanfaatkan dengan betul pada masa hadapan. Latihan industri juga dapat merealisasikan wawasan negara menjelang tahun 2020 dengan melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berkeperibadian tinggi serta taat dalam menjalankan perintah agama.

            Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung yang telah memberi ilmu dan tunjuk ajar yang berguna. Jasa dan bantuan mereka tidak dapat saya lupakan. Saya juga ingin memohon maaf kepada pihak Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) dan Unit Perhubungan dan Latihan Industri (UPLI) Politeknik Mersing, Johor atas sebarang kesilapan dan kekhilafan yang terkandung di dalam laporan ini serta ikhlas dan sedia menerima teguran yang membina. 

6 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian yang amat membantu dalam penulisan laporan akhir saya.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah, selesai juga laporan akhir saya dengan bantuan penulisan ini.

    ReplyDelete
  3. terima kasih dan minta dihalalkan untuk mengambil ayat sedikit. :)

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete